ISO 9001 Prosedur

Prosedur ditakrifkan sebagai kaedah pelaksanaan bagi sesuatu proses. Piawaian ISO 9001 ini telah menetapkan beberapa prosedur yang harus ada didalam sesebuah sistem pengurusan kualiti. Prosedur-prosedur tersebut merangkumi proses-proses tersebut:

  • Pengawalan dokumen-dokumen yang digunapakai didalam sistem kualiti
  • Pengawalan rekod-rekod pelaksanaan yang dijana hasil dari operasi sistem kualiti
  • Pengawalan terhadap produk-produk yang tidak menepati kriteria dan parameter produk yang telah ditentukan
  • Pengawalan terhadap proses audit dalaman
  • Pengawalan terhadap proses tindakan pembetulan
  • Pengawalan terhadap proses tindakan pencegahan.

Prosedur-prosedur di atas harus didokumenkan. Untuk proses-proses lain seperti proses penjualan dan pemasaran, pembelian dan perolehan produk, rekabentuk produk [jika relevan], penghasilan dan pembuatan produk, penyimpanan dan penghantaran produk, pengurusan sumber manusia yang kompeten, pengurusan infrastruktuktur dan tempat kerja serta lain-lain proses yang relevan harus juga dikawal melalui prosedur-prosedur yang spesifik dimana sesuai.

Keperluan membangunkan prosedur-prosedur [selain prosedur yang mandatori] adalah tertakluk kepada keperluan sesebuah organisasi itu berdasarkan bentuk operasinya.

Namun, adalah lebih berkesan jika prosedur-prosedur spesifik dibangunkan demi untuk mengawal proses-proses tersebut. Sekurang-kurangnya satu carta aliran kerja dilaksanakan bagi setiap proses berserta dengan petunjuk-petunjuk terhadap rekod-rekod yang berkaitan dan pegawai yang bertanggungjawab terhadap proses tersebut. Ini juga akan memudahkan staf-staf yang berkaitan untuk membuat rujukan dan analisa aliran proses.

Adalah penting untuk rekod-rekod pelaksanaan proses-proses tersebut dijana dan dikawal dengan mengikut prosedur kawalan rekod yang baik untuk membuktikan bahawa proses-proses itu telah dilaksanakan dan output-output yang berkaitan telah dihasilkan. Selain itu, rekod-rekod pelaksanaan boleh juga dijadikan sumber input untuk tujuan analisa proses.

Untuk bacaan lanjut: Struktur dokumentasi ISO 9001